Penulis ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa pembunuhan kejam
Adik Nurin Jazlin yang ditemui dalam keadaan yang sungguh menyayat hati. Pada mulanya apabila ibubapa kanak-kanak berkenaan memberitahu sidang media bahawa mayat yang ditemui itu bukanlah anak mereka, penulis berasa syukur dan masih mengharapkan kepulangan Nurin Jazlin ke pangkuan keluarga. Tetapi perasaan penulis menjadi duka dan terus membungkam apabila ujian DNA mengesahkan bahawa mayat kanak-kanak berkenaan adalah sah mayat Nurin Jazlin.
Namun hakikatnya terdapat gambaran yang lebih besar (
the bigger picture) di sebalik kejadian jenayah kejam yang amat memilukan ini. Ternyata, bahawa keadaan di Malaysia sudah tidak selamat sekarang. Kejadian membunuh, merogol, merompak dan pelbagai kesalahan jenayah berat lain adalah hasil daripada fikrah songsang yang dibawa oleh aliran sekularisme yang mengabaikan perintah Allah s.w.t sepertimana yang termaktub di dalam Kitabullah dan tentunya ia tidak dibantu oleh pihak kerajaan yang kononnya adalah "Islam Hadhari" tetapi hanya mengamalkan Islam pada "hari-hari yang terhad" sahaja!
Apapun, Nurin Jazlin telah kembali ke rahmatullah dan selamat dikebumikan -- inilah hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak. Tentunya beliau telah menjadi sebahagian daripada penghuni Jannah sepertimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, Muhammad
al-Mustafa,
sallahu alaihi wassalam. Al-Fatihah buat adik Nurin Jazlin, semoga roh beliau sentiasa di bawah perlindungan rahmat Allah di alam barzakh, insya' Allah.
Allahuma! Rahmatilah roh muslimah ini yang bernama Nurin Jazlin dan tempatkannya di kalangan mereka yang beriman dan bertakwa.
Allahuma! Berikanlah ketabahan, ketakwaan dan kesabaran kepada keluarga mangsa Nurin Jazlin, semoga mereka sentiasa mengingati-Mu dan menerima ujian yang maha berat ini, agar mereka terus memperkasakan iman mereka terhadap-Mu.
Allahuma! Tunjukkanlah kepada kami dan berikanlah petunjuk yang sejelas-jelasnya agar tertangkapnya penjenayah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini supaya dapat dibawa ke muka pengadilan.
Amin, amin, thumma amin!
Labels: jenayah berat, kanak-kanak, mangsa, nurin jazlin